Melayu Jangan Mudah Lupa

Monday, July 19, 2010

Agenda Bangsa Atasi Matlamat Peribadi

Oleh: ROFIKAH AHMAD

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Penganalisis Sosiobudaya Melayu, Profesor Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan melihat kepentingan bangsa Melayu perlu menjadi matlamat utama dalam mewujudkan kebersatuan dan persefahaman ruang lingkup masyarakat hari ini.

Katanya, apa yang berlaku sekarang ini adalah ekoran daripada kepincangan dalam pemikiran dengan meletakkan agenda peribadi mengatasi hal-hal yang perlu diutamakan.
“Media massa hari ini menyajikan kita bagaimana rentetan perjalanan yang dibuka dalam hasrat untuk menyatukan bangsa Melayu melalui ikatan politik UMNO dan Pas.

Malangnya, ia tidak berlangsung lancar kerana sikap pemimpin yang lebih mengutamakan agenda politik dan peribadinya,” katanya.

Zainal Abidin yang juga pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya menegaskan bahawa perjuangan bangsa Melayu itu sendiri sudah merupakan perjuangan agama Islam.

“Apabila kita memperjuangkan bangsa Melayu bukan bermakna tidak perjuangkan Islam kerana masyarakat kita di Malaysia telah faham konsepnya, tetapi ia sengaja dirumitkan dengan hal-hal sedemikian,” katanya kepada umno-online, di sini.

Ujarnya, kita perlu melihat sebagaimana kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut berkaitan kebimbangan pelbagai pihak terhadap nasib orang Melayu yang akan kehilangan kuasa jika terus berpecah dan tidak bersatu padu.

“Kewajaran untuk melihat perpaduan masyarakat dan bangsa Melayu adalah berasas dan apabila kita memperjuangkannya bukan bermakna yang kita rasis sebagaimana yang diperkatakan oleh segelintir pihak. Golongan ini tidak mahu melihat Melayu itu bersatu,” katanya.

Tegasnya lagi, cabaran yang dihadapi dalam arena politik Melayu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 ini adalah sama sebagaimana dengan zaman selepas PRU ke-3 pada tahun 1969.

“Kita hari ini perlu tentukan wajah dan wadah perjuangan bangsa kita sebenar demi masa hadapan yang jelas. Inilah tanah air kita dan kita tidak akan rela diperkotak-katikkan,” tegasnya lagi.

Apa yang pasti, katanya telah terbukti melalui sejarah juga bahawa sejak negara kita mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu, perjuangan Islam tetap menjadi agenda utama.

“Kita ada perkongsian kuasa dengan bangsa-bangsa lain yang diwujudkan melalui persefahaman, kita telah berjaya dan kita tetap percaya dengan aplikasi yang kita lakukan. Kita lihat pencapaian negara kita dan masyarakatnya hari ini, apa yang dicapai telah menjadi bukti bahawa kerajaan tidak pernah gagal,” jelasnya.

Terangnya lagi, apabila Kapitan Cina Yap Ah Loi dapat menguasi Kuala Lumpur, ia dibangkitkan sebagai satu semangat kepada kaum minoriti Cina yang berada di Ibu Kota hingga menimbulkan keraguan dan saling ketidakpercayaan di kalangan rakyat.

“Tanpa bersatu padu mustahil kemerdekaan negara dapat terus dikekalkan hingga ke hari ini dan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak yang baru mengambil alih tidak akan dapat melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sekiranya bangsa Melayu tidak sepakat.”

Justeru, katanya mengapa perlu difikirkan semula matlamat dan dasar perjuangan dalam UMNO kerana jelas ia telah berjaya?

“Pas tidak ada pengalaman untuk mengurus bangsa lain yang tidak beragama Islam biarpun telah berpuluh-puluh tahun ditubuhkan. Begitu juga dengan PKR, tidak mempunyai apa-apa pengalaman yang boleh dibanggakan dalam menyatukan pelbagai bangsa. Apa yang mereka boleh kata?” tegasnya.

Dalam hal ini, beliau menggesa bangsa Melayu agar merenung kembali hal-hal yang membawa perpecahan dan kegagalan dalam usaha untuk bersatu.

“Kita hanya lihat seorang sahaja dalam Pas yang menolak untuk bersatu dengan UMNO iaitu Nik Aziz. Barangkali beliau masih dibayangi peristiwa-peristiwa lama kononnya Pas disingkirkan dari Barisan Nasional tahun 1977 kerana salah UMNO, sedangkan realiti sebenar adalah sebaliknya.

“Jika kepentingan masa hadapan Melayu itu diutamakan tanpa ada agenda politik, maka tentunya untuk bersatu lebih mudah. Isu utama ialah bersatu jika sayangkan negara kerana jika kita gagal dan tetap berpecah maka tidak mustahil untuk menjadi seperti Palestin atau negara lain yang dikuasi oleh golongan minoriti,” tegasnya lagi.

Dalam hal ini, beliau melihat bagaimana DAP berperanan dan mengambil peluang daripada perpecahan bangsa Melayu itu sendiri.

“DAP mahukan kuasa politik melalui undi dalam pilihan raya agar mereka dapat sewenang-wenangnya menentukan masa depan mereka. Adakah kita mahu bangsa lain mengarah kita sedangkan ini adalah warisan dan tanah air kita sendiri?”

“Pas jangan terlalu berpolitik dalam hal ini dan kewajaran melihat bangsa lain sebagai pilihan untuk bekerjasama atas agenda peribadi adalah sesuatu yang boleh mengundang hal negatif.

“Demi mengekalkan kuasa politik Melayu, Pas perlu bersatu dengan UMNO dan keangkuhan hanya akan membinasakan.”

Sumber - UMNO-online

AkHbAr HaRiAn:-

HOTs MEDIA

Bangkit

MaLaYsIa NeWs:-

Malaysia Hari Ini

MiNdA LaWaK:-